Search This Blog

Membuka Pintu Maaf Di Aidil Fitri

MEMBUKA PINTU MAAF

DI AIDUL FITRI

 

Oleh

Saidul Amin Haji Usman

 

 

Tiada manusia yang akan luput dari salah, khilaf dan dosa. Namun sebaik-baik orang yang berbuat salah dan dosa adalah mereka yang secepatnya kembali kepada Allah seraya memohon ampun kepadaNya. Ini yang dikatakan Allah di dalam al-Quran, bermaksud : Sesungguhnya taubat di sisi Allah itu adalah orang yang melakukan dosa kerana kebodohan dan kekhilafan mereka. Lalu  mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima taubatnya ( al-Nisa’ : 17)

 

Di dalam ayat tersebut,  kata “ min Qarib ” atau waktu yang dekat memiliki berbagai makna.  Jumhur ulama seperti dikatakan oleh Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal al-Quran menyatakan bahawa bertaubat dalam waktu yang dekat adalah bertaubat sebelum meninggal dunia atau memasuki sakratul maut. Sebab pada hakikatnya manusia sangat dekat dengan kematiannya dan mereka tidak mengetahui bila akan meninggal dunia. Untuk itu mereka harus sentiasa bersiap-siap untuk menghadapi kematian yang boleh dating bila-bila masa saja.

 

Sementara Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam tafsir al-Maraghi menyatakan bahawa kata bertaubat dalam waktu yang dekat bermakna, bahawa seseorang yang melakukan dosa akibat kebodohan dan kelalaian yang dilakukanya harus bertaubat sesegera mungkin begitu mereka sedar akan keasalahan yang telah dilakukannya.

 

Namun keduanya (Sayyid Qutb dan al-Maraghi) bersepakat bahawa taubat  yang diterima oleh Allah itu adalah mereka yang bertaubat dari lubuk hati yang dalam dan dari ceruk jiwa yang suci. Mereka menyesali perbuatan itu serta berusaha sekuat tenaga untuk tidak melakukannya di masa yang akan datang. Ertinya Allah menerima taubat manusia bergantung kepada niat tulus ikhlas manusia dalam bertaubat.

 

 

Dosa manusia pada hakikatnya dapat dibahagi kepada dua, dosa kepada Allah dan dosa kepada manusia. Dosa kepada Allah dapat dihilangkan dengan beberapa cara. Jika itu dosa kecil dapat dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah. Apabila dosa-dosa biasa  dapat dihapus dengan ibadah. Namun jika itu dosa-dosa besar haruslah diselesaikan dengan taubat. Terkecuali amalan-amalan syirik. Perbuatan ini dosanya tidaklah akan diampunkan oleh Allah sebelum sipelaku terlebih dahulu meninggalkan semua anasir syirik tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan dia akan mengampuni dosa selain itu ” (al-Nisa’ : 48).

 

Dalam menafsirkan ayat ini Sayyid Qutb menyatakan bahawa tidak ada ampunan di sisi Allah bagi orang yang mati dalam keadaan mempersekutukanNya dan belum melepaskan perbuatan syirik itu debelum dia mati. Sebab syirik pada hakikatnya adalah pemutusan hubungan Allah dengan hambanya. Maka orang yang mati dalam keadaan syirik adalah mereka yang mati dalam keadaan tidak memiliki hubungan apapun dengan tuhannya. Untuk itu tempatnya di dalam neraka dan kekal di sana selamanya.

 

Namun sesungguhnya dosa yang paling berat itu adalah dosa di antara manusia dengan manusia. Sebab dalam masalah ini Allah tidak ikut campur sebelum manusia itu menyelesaikannya terlebih dahulu. Hal ini dinyatakan di dalam hadis Rasul SAW  daripada Anas bin Malik yang bermakna : Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Petama kezaliman yang tidak diampunkan oleh Allah. Kedua kezaliman yang diampunkan oleh Allah dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman yang tidak diampunkan oleh Allah adalah syirik. Kezaliman yang diampunkan oleh Allah adalah dosa manusia terhadap dirinya dan tuhannya. Sementara kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehinggalah mereka menyelesaikannya terlebih dahulu.

 

Allah tidak akan mengampunkan dosa seorang hamba kepada hamba yang lain sebelum kedua belah pihak menyelesaikan permasalahan mereka terlebih dahulu. Jika tidak diakhirat nanti mereka akan saling menuntut balas dan membayar dosa-dosa dengan kebaikan atau dengan memindahkan dosa orang yang dizalimi kepada yang menzalimi. Pada hari itu mahkamah dipimpin oleh Allah Tuhan yang maha Adil. Maka tidak ada sedikitpun kezaliman yang tidak dibalasi dan tidak ada sebesar zarrahpun kebaikan kecuali akan diperlihatkan.

 

Oleh sebab itu meminta maaf terhadap dosa-dosa yang dilakukan kepada orang lain adalah sesuatu keharusan yang mesti dilakukan oleh seseorang. Sebab meminta maaf di dunia jauh lebih mudah daripada harus membayar kesalahan itu di akhirat kelak. Tak seorangpun yang dapat membayangkan bagaimana dahsyat dan hebatnya  alam akhirat tersebut.

 

Namun Islam adalah agama yang penuh dengan kasih serta sayang. Maka setiap muslim dianjurkan untuk memberi maaf sebelum orang meminta maaf. Sebab memberi maaf itu lebih dekat kepada ketakwaan, sebagaimana dikatakan Allah SWT yang bermaksud : “ Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada takwa” (al-Baqarah 237).

 

Walaupun memberi maaf itu bukanlah sesuatu kewajiban, namun memberi maaf memiliki nilai yang sangat besar di sisi Islam. Orang yang menuntut balasan terhadap orang yang menzaliminya, kelak di akhirat hanya akan mendapat balasan dari kezaliman yang dideritanya itu. Sementara orang yang memaafkan setelah dimintai maaf akan mendapatkan pahala memaafkan dan pahala dari kezaliman yang dideritanya. Namun orang yang memaafkan sebelum dimintai maaf dia akan mendapatkan keberuntungan yang sangat besar berupa ketenangan jiwa di dunia dan balasaan yang berlipat ganda di akhirat kelak, jauh melebihi nilai kezaliman yang dimaafkan tersebut.

 

Selain itu, orang yang selalu membuka pintu maaf  akan mendapat balasan lain yang lebih baik, berupa hisab yang mudah di hari pembalasan nanti, sebagaimana dikatakan Rasulullah SAW yang bererti : Ada tiga perbuatan yang jika seseorang melakukannya maka Allah akan menghisabnya dengan hisab yang mudah dan akan memasukkannya ke dalam surga dengan kasih sayang tuhannya. Para sahabat bertanya, apa dia ya Rasulullah. Rasul SAW menjawab : Pertama, orang yang mengikat silaturrahmi kepada orang yang telah memutuskannya. Kedua, orang yang bersikap pemurah kepada orang yang bakhil kepadanya. Ketiga, Memberi maaf kepada orang yang telah menzalimi dirinya. Jika anda melakukan hal tersebut, maka Allah akan memasukkannya ke dalam surga. (H.R.Tabrani dan Hakim).

 

Hadis di atas menceritakan bagaimana besarnya pahala di sisi Allah bagi orang yang sentiasa membuka pintu maaf di dalam jiwanya dan menutup pintu dendam dari hatinya. Sehingga hati mereka akan  bersih dari semua sifat-sifat yang tercela seperti sombong, hasad, dengki, kikir dan lainnya. Lalu di dalam hati itu hanya ada sifat-sifat terpuji seperti tawaddu’, pemaaf, pemurah dan lainnya. Orang seperti ini akan mendapat ketenangan jiwa yang sesungguhnya di dunia dan menerima balasan yang sangat besar di akhirat nanti.

 

Selain itu pada hakikatnya seorang muslim harus sentiasa mengingat dua perkara dan melupakan dua perkara pula. Mereka harus mengingat kesalahannya pada orang lain dan mengingat jasa orang lain yang ada pada dirinya. Kemudian sentiasa melupakan kebaikannya kepada orang lain dan melupakan kesalahan orang lain yang ada pada dirinya. Jika keempat sikap ini dilakukan maka ketenangan batin itu pasti akan dirasai dalam kehidpan sehari-hari.

 

Maka sempena mengakhiri bulan Ramadan yang suci dan memasuki bulan syawal yang mulia sewajarnya kita membuka pintu maaf untuk siapa sahaja. Tak kira perbezaan kaum dan bangsa, parti dan pandangan politik serta status dalam masyarakat, maka memberikan ruang di dalam hati untuk saling memaafkan   adalah lebih utama dari menyimpannya berkelarutan di dalam jiwa. Dan yang pasti memberi maaf itu adalah sesuatu yang indah..

 

Semoga puasa Ramadan akan menghapuskan dosa-dosa kita kepada Allah dan Aidul fitri di bulan syawal ini akan menghapuskan pula dosa-dosa kita sesama manusia. Jika ini berlaku barulah kita layak beraidul fitri, yaitu kembali kepada fitrah yang suci sebagaimana anak yang baru lahir dari rahim ibunya. Jika tidak, kita hanya setakat berhari raya sahaja.